Ada seorang sahabat yang saya cintai kerana Allah.
Selalu menasihati, berkata dengan perkataan yang baik-baik & tak pernah sesekali menzahirkan rasa benci melayan karenah saya yang kadang kadang seperti tak tentu arah.
Beliau hadir mendidik erti kesabaran dan akhlak budi, meski dibilang bilang sayalah gurunya.
Saya bukanlah manusia pilihan Tuhan, bukan hadir dari keluarga pilihan, tidak juga rijal ad-din yang hebat bekerja untuk agama, tetapi Tuhan kirimkan teman ini yang terlalu sempurna.
Hanya baru beberapa tahun kukenalinya, namun nilai perkenalan ini dirasakan seperti puluhan tahun lamanya. Persahabatan yang dibina ini, diikat atas nama aqidah yang suci. Ia seperti cermin hidup. Cermin hidup itu akan lihat kelemahan dan kesalahanku, lalu ditegurnya dengan ikhlas melalui akhlak dan budi yang ia dipamerkan.
Wahai Tuhan! PadaMu aku memohon,
Dalam doa dan sujudku,
Mudahkanlah urusannya,
Amankan dia dari fitnah dunia dan akhirat,
Jadikan dia mulia di sisi-Mu.
Ramai sahabat yang baik, namun tak pernah ku hargai kehadiran mereka seperti ini. Semuanya kerana dia insan istimewa yang bertakhta di hatiku.