27 October 2013

Kita

Kalian sebar aib/kelemahan kami, konon cegah mungkar.

Kalian hina kami, konon kritik.

Kalian kata kami taasub, konon terbuka.

Kalian kecilkan idea kami, konon kebebasan.

Suruh tengok-tengok hati kalian, dah kecil katanya.

Suruh tengok-tengok perasaan kalian, dah calar katanya.

Asyik kami tengok, asyik kami jaga. Hati kami siapa tengok? Siapa jaga?

-------------------------

Eh. Kalian? Kami?

Kita. Ya kita!




Muhammad Azim,
Mu'tah Jordan.

10 October 2013

Pilih Pasangan Guna Penapis


Pesan seorang 'abang' yang telah mendirikan rumah tangga :

" Kalau enta nak kahwin, cari isteri yang solehah. Dia akan senangkan enta semua perkara. Percayalah"


X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X X


Berehat seketika dari mengulangkaji pelajaran, membuat sedikit persediaan untuk final exam beberapa hari lagi. Membaca untuk peperiksaan memang tak mudah, berbeza dengan bacaan untuk menambah maklumat. Perlukan tumpuan untuk memahami, mengingat dan menulis. Apatah lagi bagi subjek yang penuh dengan perbezaan dalam ijtihad para ulama'.

Saya ambil kesempatan waktu ini untuk menulis. Disebabkan saya menulis ketika sedang merehatkan diri buat seketika, maka saya tulis dengan bahasa yang santai dan bersahaja. Macam orang sedang bersembang.

Teringat akan sabda Baginda S.A.W.:

"Seseorang perempuan itu dinikahi oleh empat perkara. Kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Utamakanlah perempuan yang kuat pegangan agamanya. (Sekiranya tidak, maka dirimu akan rugi."

Persoalan yang timbul, jika agama yang utama, kenapa tidak Rasulullah S.A.W. mendahulukan dengan menyebut "kerana agamanya" dan begitulah seterusnya?

Seolah-olah ada sesuatu yang lebih utama ingin Baginda S.A.W sampaikan.

Kekayaan, kecantikan dan keturunan yang mulia adalah perkara yang pasti manusia cenderung padanya. Jika tidak, mana mungkin kita layak bergelar manusia? Islam tidak pernah menentang kesemuanya itu. Malah Islam mengajak untuk memeliharanya. Kenapa perlu dipelihara? Kerana ia barang yang menjadi pertarungan antara iman dan nafsu. Ada hartawan beriman. Ada hartawan kufur. Ada wanita jelita yang menyenangkan. Ada wanita jelita yang menyeksakan.

Maka, apa yang (mungkin) kita dapat fahami dari Hadis ini?

Rasulullah tidak halang untuk kita memilih isteri yang kaya-raya. Rasulullah juga tidak halang kita untuk mencari isteri yang cantik menawan. Malah Rasulullah tidak menghalang untuk kita beristeri dengan anak sultan.

Setelah jumpa yang kaya, cantik dan keturunan yang baik, jangan kahwin terus. Gunakanlah penapis, agama kita. Lulus tapisan, barulah buat keputusan.

Jika penapis elok dan berkualiti, maka tapisan itu juga insyaAllah berkualiti.

Jika penapis pun berlubang, mana mungkin dapat hasil tapisan yang baik? Layak sahaja kita menerima tapisan bercampur dengan ampas-ampas yang kita pun tidak suka.

Sekian.

- Artikel ditulis oleh Sdr Hanif bin Ali

27 July 2013

Rancanglah

Kelmarin sahaja hampir 5 mesyurat/pertemuan kena saya hadiri. Inilah rutin harian. Mesyuarat, program, jumpa orang ke hulu-hilir dan lain-lain sudah sebati sejak menyandang jawatan sebagai Exco. Pernah terfikir, masa sibuk ini diterima Allah ataupun tidak? Semoga tidak sia-sia.

Hari ini Sabtu. Esok dan Lusa (Ahad & Isnin) saya akan menghadapi peperiksaan akhir bagi semester terakhir tahun kedua di Univ. Mu'tah. 
Dan Alhamdulillah, keesokannya (Selasa) saya diizinkan Allah untuk pulang bercuti bertemu keluarga tercinta setelah dua tahun di perantauan. Ayah, Mak, Kak Chaq, Kak, Kak Chik & Jibah tak sabar menanti.


X X X X X X X X X


Saya belajar dari kesibukan adalah merancang sebelum bertindak. Semasa di Amman 3 minggu lepas, saya beli sebuah buku yang ditulis oleh Dr Muhammad Imarah berjudul اسلام والمستقبل (Islam dan Masa Hadapan). Sebuah buku yang sangat baik.

Terlintas, teramatlah rugi bagi saya, jika saya hanya merancang untuk diri sendiri (bekerja, rumah tangga, makn-minum dll) sedangkan perancangan untuk masa depan Islam jarang-jarang di fikirkan.

Bak kata seorang Ustaz, merancang dan menyusun ini adalah sunnatullah dan juga sunnah Rasulullah s.a.w.


* Semoga Allah redho setiap perancangn ini.

07 May 2013

Pasca PRU-13




Bismillah.

Kita sedih bukan sebab kalah. Tapi geram sebab bangla, blackout., media berat sebelah, dakwat tak kekal dan macam-macam lagi.

Apapun kita tak pernah bersedih sebab kalah. Beza kerusi di Parlimen dan Negeri Kedah (khususnya) tidak banyak.

Wakil PR makin ramai di dalam dewan untuk mewakili rakyat. 

Kita wajib bersangka baik dengan perancangan Allah ini. Wajib!

Kita sokong siapa yang naik. Wlaupun tokey arak, kaki rasuah, menang tak telus, undi tentera, balckout, peti undi hilang dan lain-lain kita serah pada Allah segala. Semoga Allah tentukan yang terbaik untuk hamba yang mahu bertaubat dan berubah. Kalau mereka tak berubah, kegemilangan Islam di Kedah 1 persatu mereka lenyapkan, kita tekad untuk hukum balik dalam GE14 @ sebelumnya.

Sekarang usia kita 20-an. Jika Allah takdirkan PRU14 milk kita, semestinya kita adalah tentera yang berada di barisan untuk memenangkannya. Mungkin ada dalam kalangan kita yang akan menjadi wakil pada akan datang. Kita doakan. Wakil Jordan perlu ada dalam dewan rakyat.

Saranan saya selaku anak muda yang benci penipuan dan kezaliman, mahu melihat Islam di tegakkan TOLONG mula dari sekarang.
Kita rancang untuk negeri Kedah kita dan negara Malaysia.

1. Kuatkan spritual. Pemimpin tak boleh lemah rohaninya. Kerana ini adalah tanda kebergantungan kita dengan Allah. Yang masih sedih, tanggalkan seketika dan jangan buang masa. Cuba tunjuk pada musuh bahawa kita tak lemah.

2. Kawan-kawan yang mampu dapatkan muaddal dengan tinggi, usaha sehabis mungkin. Dalami ilmu. Supaya perjuangan kita tidak di barisi orang yang kurang cerdas mindanya. Balik nanti sambung tugas tok gur dan alim ulama.

3. Kawan-kawan yang ada kefahaman politik tinggi, manfaatkan. Teroka selok belok dan sepak terajang politik negara kita dan dunia. Fahami isu. Kuasai ilmu politik, ekonomi dan sosial. Bangunkan minda. Sebab kita tidak boleh menentang musuh hanya berbekalkan tarbiah. Dakwah, tarbiah & siasah kita seiringkan. Jadi politikus yang genius.

4. Kawan-kawan yang berpersatuan manfaatkan ilmu persatuan yang kalian peroleh. Medium persatuan adalah medium terbaik untuk menguji kebolehan kita. Belajar erti pengurusan supaya bertindak cekap. Belajar erti matang mengurs masalah. Dalami politik persatuan sebelum politik sebenar. Manfaat sebaik mungkin.

Selaku pemimpin persatuan, kita tidak dihalang untuk menyatakan parti mana kita sokong. Dalam masa yang sama, jaga hati ahli dan rakan yang bukan sealiran dengan kita. Rai semunya, dan pamerkan akhlak terpuji. Bukankah ini yang Rasulullah s.a.w ajarkan ?

Pesan Dr Syuweish (guru saya di Mu'tah Univ), pastikan persediaan PRU14 bermula dari hari ini. Sekarang! Kehilangan sebelum ini mendidik kita supaya bersedia sepanjang masa. Jauhi maksiat dan  dekatkan diri pada Allah

Pesan pada Kedah, tunggu kami pulang.

Kita perlu ada bekalan. Jom jadi anak muda yang berisi!




Muhammad Azim Bin Mohd Fadzil
7 MEI 2013
Mu'tah, Jordan.


30 April 2013

Puzzle Kehidupan




Hidup ini penuh warna-warni. Islam mengajar manusia untuk mencari yang terbaik dan berkualiti dalam hidup. Banyak saranan Allah dan Rasulnya tentang perkara ini. 

# " Dialah yang menjadikan mati & hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yg lebih baik amalnya" (Al-Mulk).

# "..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab" (Az-Zumar)

# “Sesungguhnya Allah azza wajalla sangat suka (bahkan cinta) jika seseorang daripada kamu, apabila melakukan kerja, maka dia bekerja dengan tekun.” (Riwayat Baihaqi)

Dan banyak lagi hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang mengukuhkan lagi hal ini. Antaran yang lain, hadis berkenaan 'Halawatul Iman', hadis berkenaan memilih wanita untuk dijadikan isteri dan banyak lagi.

Baik dan Buruk

Al-Quran menjelaskan perkara baik tidak akan sama dengan perkara buruk. Firman Allah "Katakanlah (Wahai Muhammad), Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun jumlah banyaknya yang buruk itu telah mengkagumkan engkau. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai Ulul Albab" (Al-Maidah)

Lihat sajalah dalam al-Quran bila Allah s.w.t cerita tentang syurga pastinya di sulami peringatan neraka. Bila disebutkan dosa, pasti di selitkan perihal pahala. Antara yang boleh saya petik firman Allah di dalam Surah An-Naziaat ayat 1&2 "Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras (1) Dan (malaikat- malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah-lembut" (2). Ayat ini menceritakan dengan jelas bahawa pengakhiran hidup manusia dapat ditentukan dalam 2 keadaan, sama ada secara keras atau pun lembut.
Demikian Sunnah Al-Quran.

Kualiti Sukar Diduga

Sejak dari kecil hingga kini saya mengumpul seramai sahabat yang mungkin. Saya ada rakan saya yang kaki masjid, kaki ceramah, kaki study dan tak kurang juga kaki wanita, kaki motor, gengster, penagih dadah gam pil-pil dan macam mcam lagi perangai yang ada. Kalau hendak di hitung, rasanya lebih ramai rakan saya yang 'bermasalah' berbanding yang soleh dan beriman. Saya bersyukur kerana Allah s.w.t takdirkan saya mengenali pelbagai jenis orang. 

Sebahagian orang kita nampak buruk pada zahirnya, tetapi hati mereka mulia. Selama bersahabat dengan 'mereka', mereka sangat menghormati dan setia. Waktu susah, mereka yang pertama hulurkan bantuan. Cuma belum bersedia jadi baik sahaja. Yang betul-betul keras kepala tuu sudah tentulah :D

Yang nampak baik & soleh memang saya respect. Tetapi sebahagiannya ada yang buat-buat baik. Bukan Su' Zhon, tetapi Hazar (Berhati-hati).

Kualiti hidup kita ditentukan pada pengakhiran hidup. Bukankah Rasulullah s.a.w telah mengajar kita dalam sepotong hadis Sohih Muslim, ada hadith yg menceritakan tentang seorang lelaki yg telah membunuh 100 manusia . Dia menyesal dan bertaubat. Dalam perjalanan untuk bertemu dgn guru yang boleh membimbingnya ke jalan yg benar, dia dimatikan Allah. Dia dimasukkan Allah ke dalam Syurga, kerana niat ikhlasnya untuk kembali kpd Allah.

Kebanyakan pemandu sesat, bukan pada permulaan perjalanannya. Boleh jadi sesat kita ketika sudah hampir kepada destinasi.


Hidup manusia umpama melengkapkan PUZZLE. Tersalah langkah, kita akan buntu mencari jalan. Bila tidak jumpa langkah, fikir & muhasabahlah.

Kesimpulannya, kita adalah sama di sisi Allah. Sebagai manusia dan hamba ciptaanNya.
Kita berbeza di sudut pencapaian iman dan taqwa.

Bilal lebih bernilai berbanding Abu Jahal disebabkan Taqwa.

Semuanya dibataskan dgn kalimah TAQWA. Siapa yang lebih taqwanya, dialah yg paling mulia di sisi Allah, walau hitam kulitnya, walau serba kekurangan dirinya.

Jom jadi insan bertaqwa !

28 April 2013

Mangsa Persatuan





“sepanjang ana jadi ALT, 3 subjek ana rasib”
“anta dah jadi mangsa akhowat ”
“tu la, aktif sangat sampai tak tidur malam”


Konsep persatuan mengikut kertas sangat menguntungkan seseorang. Kemahiran insaniah, pengalaman, kepimpinan, berinteraksi dengan orang lain. Namun itu semua berdasarkan kertas kerja MBO dan pendapat mereka yang sangat mencintai persatuan, namun bagaimana pula dengan hakikat sebenar dan apa pula kata mereka yang anti persatuan?

Gadaikan Akademik?

Inilah teori popular di kalangan pelajar Mu’tah apabila ditanya mengapa tidak berminat dengan persatuan. Teori itu semakin terbukti benar apabila dipraktikan pula oleh sebilangan orang dalam persatuan sendiri. Mana tidaknya, siang hari sibuk dengan urusan belajar, malam mesyuarat sampai larut, kemudian menerima dan membuat panggilan mengalahkan wakil rakyat, dan keadaan semakin teruk apabila terbawa-bawa ke dalam kelas.

Jika melibatkan pihak atasan terpaksa ponteng kelas namun diringankan atas istilah ‘urusan kerja’. Lebih parah lagi jikalau seseorang itu memegang terlampau banyak jawatan. PZ pun dia BKAN pun dia MPPM pun muka dia. Maka, dirinya akan diperhati oleh orang yang anti-persatuan untuk melengkapkan statistik mereka agar teori mangsa persatuan akan diiktiraf oleh pelajar lain.

Tiket Sosial.

Ini juga satu perkara yang menarik. Berpersatuan dianggap peluang untuk berkenal-kenalan dengan akhawat dalam suasana masyarakat di sini yang dikatakan ‘shadid’. Hanya orang persatuan sahaja yang boleh datang ke rumah akhawat atas alasan mesyuarat, untuk muraqib perempuan pun dia sebab lebih dikenali berbanding orang lain.

Sedar tak sedar, cemburulah orang di luar persatuan. Mereka pun hendak berkenalan dengan kaum berlainan jantina namun agak terbatas disebabkan tiada urusan. Maka, urusan persatuan itulah yang dikatakan tiket untuk bersosial berlainan jantina.

Membazir atau menyumbang?

Ini pun antara teori yang menarik untuk menghentam persatuan dan ahlinya. Kisah ini bermula apabila orang yang berpersatuan ingin meminjam duit dari mereka yang anti- persatuan, namun terus dihentamnya.

"tu la kau, mak ayah bagi duit untuk belajar, nape guna untuk orang lain?". 

Mana tidaknya, hendak sediakan minit mesyuarat, surat jemputan, kertas kerja, tambang, makanan, kredit semuanya terpaksa didahulukan dengan duit sendiri. Bagi orang yang berjiwa persatuan ini, terasa tidak sanggup untuk menuntutnya daripada bendahari.

Kebaikan yang dibisukan.

Tidak dapat dipastikan samada mereka yang anti dengan persatuan itu apakah kehendak mereka. Samada secara peribadi ataupun memang satu kajian yang telah diadakan bersungguh-sungguh demi membuktikan persatuan itu membawa masalah. Ataupun mereka ingin mewujudkan sebuah persatuan alternatif mereka sendiri.

Sekiranya dinilai, ada benar juga teori mereka walaupun ada yang tidak tepat. Namun, mengapakah kebaikan itu dibisukan dan mengapakah keburukan itu dilaung-laungkan, mengapa tidak ‘ditaslih’ kan sahaja kekurangan tersebut dengan penyertaan mereka? Akhirnya fahamlah saya, kita sebenarnya berhadapan dengan makhluk yang silap sekiranya ingin kebaikan kita disebut atau dihargai.

Terima kasih bagi yang memahami.

Namun, janganlah pula lupa dibelakang kita masih ramai lagi rakan-rakan yang memahami akan hakikat perjuangan ini. Masih ramai yang menghargai. Mereka sering berdiri teguh dan kadang-kadang melemparkan kritikan. Namun, kritikan tersebut lebih bermakna apabila mereka sendiri yang membaikinya agar kelihatan lebih cantik.

Orang-orang sebeginilah yang amat diperlukan tidak kira di sini ataupun apabila pulang nanti.Tidak kiralah walaupun hanya sekadar AJK kecil ataupun sebesar-besar pemimpin kita bukan melakukan sesuatu yang sia-sia, namun untuk mendapatkan sesuatu, kadang-kadang kita terpaksa berkorban atau kita kehilangan sesuatu. Pimpinan akan silih berganti, dasar juga akan sentiasa berubah. cuma matlamat sahaja yang akan tetap centric.

Artikel ditulis oleh:-
Ustaz Shahrul Ifwat, semasa di tahun 2 Universiti Mu'tah.
Bekas Ketua Biro Akademik PERMATA 07/08.
Bekas Timb. Presiden MPPM.
Sekarang calon Master Universiti Al al-Bayt,



Copy daripada : http://www.ashrafhadi.com/2012/11/mangsa-persatuan.html

14 April 2013

Fitnah Dunia

3 bulan tak menulis. Konon sibuk, sebenarnya malas. Hari ini terdetik hendak menulis, tangan mencapai laptop. Suis dibuka dan mula menaip. Tak tahu apa yang hendak di catat. Jam menunjukkan 3.30 pagi. Mata masih belum pejam. Baring di atas tilam, pusing ke kanan dan kiri. Bangun, duduk dan baring kembali. Tak tahu apa masalah. Rasanya ini kali pertama sepanjang di Jodan, waktu malam sangat terganggu.

 Pukul 4 pagi, masih lagi dalam keadaan yang sama. Cuba bangun untuk ambil wuduk dan menunaikan solat 2 rakaat. Terhoyong hayang dah macam orang mabuk. Tepat jam 8 pagi, terpaksa buat keputusan 3 kelas pada hari ini dilepaskan lagi. Bila badan tak sihat, rasa mula dekat dengan Allah. Waktu inilah, mula nak berfikir bahawa Tuhanlah segala-galanya. Sungguh manusia sangat leka. Apapun semuanya adalah kafarah dosa. Senyum =)

 -------------------------------------------------------------------------------------------

 Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah (s.a.w) itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia oula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Al-Ahzab : 21)

 Sambil mengintai-intai lamanan utama facebook melalui kaca ipad, macam-macam cerita yang terpampang. Maklumlah pilhanraya hanya beberapa minggu sahaja lagi. Membelek satu-persatu, buatkan kadang-kadang tersenyum, kadang-kadang marah & kadang-kadang sesak dada di buatnya. Herh!

 Rasulullah s.a.w diutuskan Allah s.w.t untuk menghidupkan hati-hati manusia supaya telinga mereka boleh mendengar kebenaran, aqal berfikir dengan baik dan mata dapat melihat kebesaran Allah (bukannya filem-filem lucah!)

 Namun, masih ramai yang memilih untuk menjadi pekak dan membutakan mata mereka terhadap kebenaran. Hati hitam pekat dan lebih keras daripada batu. Zahirnya Islam, tetapi yang sebenar mereka membenci Islam. Bersekongkol melemahkan kekuatan islam. 

Walaupun tidak dizahirkan secara terang-terangan, namun lakonan mereka dapat dihidu orang-orang beriman.

 Mereka lebih busuk daripada sekandang khinzir !

15 January 2013

Kisah Musa a.s & 2 Gadis

 Bukankah yang paling menundukkan pandangan itu paling hampir kepada Iman ?






 [23] Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “.

[24 ]Maka Musa pun membantu memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.

[25]Kemudian salah seorang  perempuan dari dua beradik itu datang dgn berjalan dalam keadaan malu-malu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu “.

[26]Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi dipercayai”.

________________________________________________________________________

Ayat ini merupakan sebahagian firman Allah s.w.t di dalam Surah Al- Qosos. Ayat ini juga meurupakan ayat kegemaran penulis. Selalu sahaja penulis bacakan ktika mengimami solat-solat. Ada pengajaran penting yang boleh di teadani oleh anak muda yang mengaku berada didalam barisan perjungan. Disamping di sebutkan tentang ciri sesorang pemimpin yang terbaik iatu i‘qowiyul amin’ , ada ibrah lain yang penulis temui bila mentadabbur ayat-ayat suci Allah ini.

Sesungguhnya kisah yang diceritakan Allah s.w.t ini merupakan kisah yang sangat hebat dalam hal Amanah berintraksi di antara lelaki dan wanita.

Tadabburlah apa yang di tunjukkan Nabi Musa a.s!
Di saat ‘imraatan’ (2 anak gadis Nabi Syuaib a.s) tersebut tidak dapat ambil air ketika ramai org sedang mengambil air, adakah Nabi Musa berkata “urusan ini tiada kena mengena dengan aku " atau "oh!aku tidak akn bercakap dengan wanita".
Tidak, bahkan beliau membantu kedua gadis tersebut yang terhalang untuk memberi minum kambing-kambingnya.

Hari ini, ada sebahagian pemuda tersalah faham bahawa berinteraksi dengan wanita itu adalah haram hukumnya dan tidak boleh sama sekali. Tidak jawapannya.

Nabi Musa a.s  datang kepada kedua wanita tersebut dan bertanya " Apa hal kamu berdua..." Inilah adab Islam. Nabi Musa tidak mengatakan "hai, nama saya...nama awak?..." Tapi beliau terus bertanyakan hal penting dan terus membantu apabila sudah tahu kesusahan kedua gadis tersebut.

Begitu juga dengan kesantunan dan kesopanan akhlak  gadis-gadis tersebut. Lihatlah pada adab keduanya .
Jika ayah mereka (Nabi Syuaib a.s) belum tua dan masih berdaya mereka tidak akan pergi ke tempat air itu yang dipenuhi ramai pengembala lelaki. Malah, kedua-dua anak gadis ini tidak ke hadapan dan berebut-rebut untuk mengambil air sebaliknya terus di belakang pengembala-pengembala tersebut.

Setelah Nabi Musa a.s membantu mengambil air buat kedua gadis tersebut beliau terus menuju ke tempat berteduhnya. Lihatlah Nabi Musa a.s terus sahaja ke tempat berteduhnya tanpa menggunakan kesempatan setelah menunaikan budi kepada 2 wanita tersebut.

Begitu juga sikap malu yang ditunjukkan salah seorang gadis tersebut ketika berjumpa dengan musa untuk menyatakan hajat ayahnya menjemput Musa ke rumah. Berjalan untuk bertemu Nabi Musa a.s dalam keadaan ‘istihya’ (malu-malu). Selayaknya sikap sebeginilah yang patut ada pada seorang wanita dan bukannya datang dalam keadaan menggoda, berlenggang lenggok ke arah lelaki. Dia juga menyampaikan tujuannya dengan kata-kata yang singkat namun difahami dan tidak memanjangkan percakapannya. 

Saudara & saudariku, belajarlah dari kisah Musa a.s ini.
Anak gadis tersebut mencadangkan kepada ayahnya untuk jadikan Nabi Musa a.s sebagai pekerja. Dia berkata "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi dipercayai" .

Bagaimana gadis tersebut tahu bahawa Musa a.s seorang yang boleh dipercayai? Jawapannya adalah pada sikap amanah Nabi Musa dalam berinteraksi dengan wanita. Itulah yang selayaknya dipelajari oleh kaum lelaki. Nabi Musa amanah dalam berbicara dengan wanita. Beliau menjaga pandangan dan percakapannya. Nabi Musa terus bertanyakan jika gadis-gadis tersebut perlukan bantuan. Beliau tidak melanjutkan percakapannya hingga berlaku 'tarikan' antara lelaki dan wanita. Nabi Musa tidak menyelitkan percakapannya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. 

Nah..! Beginilah selayaknya bagi para pemuda dan pemudi. Bukanlah tujuan saya menulis ini untuk menghalang interaksi sesama lelaki dan wanita. Bukan pula untuk menggalakkan interaksi sehingga melampaui batas. Cukuplah kisah Musa a.s dan 2 anak gadis Nabi Syuaib a.s menjadi teladan buat kita dalam memikul amanah ‘dakwah’ ini. Kalaulah dalam urusan ‘dakwah’ hari ini pun kita masih ada ‘masalah’, apatah lagi urusan selainnya.  Siapa yang tidak mahu keluarga yang hebat seperti contoh keluarga Rasulullah?Tetapi percayalah ianya tak akan bermula dari interaksi yang kontang dari garis panduan Iman.

Terbuka jangalah sampai hanyut, berprinsip janganlah sampai jumud.

Fahamilah kisah Nabi Musa, fahamilah pesanan pesanan ini. Pada Allah lah tempat daku bersandar..

Semoga penulis menjadi orang pertama mengamalkan apa yang tercatat. Wallahua’lam.


02 January 2013

Tetamu Yang Di Nanti

Bulan September yang lalu penulis menerima kunjungan rombongan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK). Kali ini di tugaskan untuk menjadi pemandu bagi rombongan. Membawa melawat beberapa tempat bersejarah dan keadaan pelajar di Jordan khususnya pelajar Kedah di sini disamping berjumpa wakil-wakil persatuan dan EMJ.

 Selang beberapa bulan, pada pertengahan November yang lalu,menerima kunjungan dari wakil Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK). Berbual dan bercerita bersama Hj. Rahman (Pengurus Besar YINK) memang tidak kering gusi. Banyak lawak dan jenaka beliau yang memberi manfaat.

 Beberapa minggu kemudiannya, penulis sekali lagi gembira menerima kedatangan keluarga dari Malaysia yang bercuti di sini. Ternyata kehadiran 'Pak Chaq' (ayah saudara penulis) sedikit sebanyak mengubat rindu kepada ayah, mak, keluarga serta kampung halaman.

 Beberapa hari yang lalu, sekali lagi penulis di beri peluang menerima kunjungan Murobbi yang dikasihi. Beliaulah murobbi yang mendidik dan mentarbiyah kami di negeri Kedah. Walaupun al-fadhil ustaz hanya sempat bermalam semalaman di rumah penulis, kehadiran beliau sangat di syukuri. Pelbagai nasihat dan wasiat yang di berikan. Teringat, seringkali majlis ilmu bersama al-Fadhil Ust Zainol Asri, beliau tidak akan lekang untuk menceritakan kisah-kisah orang soleh yang dekat dengan Allah s.w.t.
 Sungguh, daku amat kasihi orang yang soleh,meski bukan dalam kalangan mereka!

 Kegembiraan dan peluang ini turut di kongsi rakan-rakan ahli PERMATA yang lain. Satu majlis ilmu bersama al-Fadhil ustaz telah disusun dan mendapat sokongan tinggi dari ahli PERMATA. Kehadiran yang ramai pada malam itu membuktikan komuniti Malaysia di Mu'tah sangat cintakan ilmu. Sanggup duduk berhimpit dan rapat-rapat. Teringat satu ayat Allah di dalam surah Al-Mujadalah, Allah berfirman yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu berlapang-lapanglah pada majlis-majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan bagi kamu". Dalam satu riwayat di sebutkan Asbab Nuzul ayat ini ialah apabila ada beberapa orang sahabat yang terlambat datang ke majlis ilmu bersama Rasulullah s.a.w, para sebahagian sahabat tidak memberikan tempat duduk. Maka turunlah ayat ini sebagai perintah untuk memberikan tempat kepada orang yang baru datang.
Tahniah dan terima kasih kepada yang telah melaksanakan program.

 Terfikir, kehadiran mereka semua kesini tak kiralah mana-mana agensi, pertubuhan, parti ataupun individu pasti sampaikan mesej yang sama supaya pulang bebakti pada masyarakat. Sungguh ! nasihat itu pasti di sampaikan tak kiralah siapa pun yang datang.

 Kesimpulan penulis, gali & carilah sebnyak mana yang termampu, kemudian pulang dan sumbanglah untuk ummah. Benar, ummah sedang menunggu kita !

Semoga ada manfaat untuk semua, ALLAHUA'LAM.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons