17 December 2014

Kata Tanpa Suara





Subuh waktunya tenang
Nak bangun bukannya senang
Seperti dimedan perang
Hinggakan selalu culas sembahyang

Hidup kita setiap detik berjuang
Singa yang kuat pada pagi dan petang
Pada malam yang panjang
Merintih kepada Tuhan dek dosa yang dikenang

Fitnah munafiqin umpama pedang
Amat merbahaya kerana petualang
Luarnya selali deperelok dalamnya buruk jika dipandang
Bila dimedan sentisa membelakang selalu pula tikam dari belakang!



Umar,
Subuh 18 Dis 2014,
MaSjid Syuhada', Mutah Jordan.



08 September 2014

Cermin Kehidupan





Ada seorang sahabat yang saya cintai kerana Allah. 
Selalu menasihati, berkata dengan perkataan yang baik-baik & tak pernah sesekali menzahirkan rasa benci melayan karenah saya yang kadang kadang seperti tak tentu arah.

Beliau hadir mendidik erti kesabaran dan akhlak budi, meski dibilang bilang sayalah gurunya.
Saya bukanlah manusia pilihan Tuhan, bukan hadir dari keluarga pilihan, tidak juga rijal ad-din yang hebat bekerja untuk agama, tetapi Tuhan kirimkan teman ini yang terlalu sempurna.

Hanya baru beberapa tahun kukenalinya, namun nilai perkenalan ini dirasakan seperti puluhan tahun lamanya. Persahabatan yang dibina ini, diikat atas nama aqidah yang suci. Ia seperti cermin hidup. Cermin hidup itu akan lihat kelemahan dan kesalahanku, lalu ditegurnya dengan ikhlas melalui akhlak dan budi yang ia dipamerkan.

Wahai Tuhan! PadaMu aku memohon, 
Dalam doa dan sujudku,
Mudahkanlah urusannya,
Amankan dia dari fitnah dunia dan akhirat,
Jadikan dia mulia di sisi-Mu.

Ramai sahabat yang baik, namun tak pernah ku hargai kehadiran mereka seperti ini. Semuanya kerana dia insan istimewa yang bertakhta di hatiku.

13 July 2014

Iman Diuji





Berpuasa selama 16 jam, naik turun maktabah menghabiskan tugasan untuk siapkan 2 bahas (tesis), mesyuarat luar kawasan setiap hujung minggu, cuaca panas yang menguji dan pelbagai karenah Arab yang memenatkan antara warna warni kenangan manis bulan Ramadhan ditanah Arab kali ketiga buat penulis. Harini hari ke 14 berpuasa. Malam ini perlawanan akhir piala dunia. Serangan ke atas penduduk Gaza masih berterusan. Kita doakan mudah-mudahan Allah berikan kemenangan pada umat Islam.

Kitab Seerah diteliti, sedut bebrapa ibrah untuk dijadikan bekalan menyuntik semangat meneruskan kerja kerja juang dan menuntut ilmu yang tak pernah meminta kita berehat apatah lagi meniggalkannya.

Kisah 3 org sahabat - Ka'ab bin Malik, Murarah bin Ar-Rabi'e dan Hilal bin Abi Umayyah yang di pulau oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat selama 50 hari kerana secara sengaja tidak menghadiri Perang Tabuk.

Rasulullah saw mengeluarkan arahan supaya sahabat bersiap untuk berjihad menentang tentera Rom di Tabuk. Dalam peperangan ini, Allah menguji mereka dengan 3 keadaan :-

1. Cuaca yang sangat panas
2. Perjalanan ke Tabuk terlalu jauh
3. Musim buah Tamar sedang masak ranum

Para Sahabat (radiyallahuanhum) bersiap untuk ke Tabuk, Ka'ab pula berlengah-lengah sehingga terlepas untuk ke Tabuk. Setelah Rasulullah s.a.w pulang dari Tabuk, para sahabat yang menyertai peperangan Tabuk datang mengadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan keuzuran masing-masing. Termasuk juga Ka'ab, Murarah dan Hilal.

Kesudahannya, mereka tidak dipedulikan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat selama 50 hari. Rasulullah s.a.w melarang org ramai bercakap dengan Ka'ab, Murarah dan Hilal.

Kata Ka'ab- `Aku merasakan seluruh penghuni bumi menolak aku! Bumi Madinah ini bukan bumi yg aku kenal sebelum ini!'

Kata Ka'ab lagi- `Aku beri salam pada Rasulullah saw dalam majlis, aku tertanya- tanya, apakah Rasulullah saw menggerakkan kedua2 bibirnya untuk menjawab salamku?'

Ka'ab dan 2 sahabat lagi menangis tanpa henti kerana Rasulullah saw tidak memperdulikan mereka lagi. Masuk hari ke -40, datanglah utusan Rasulullah saw bertemu Ka'ab untuk menyampaikan arahan Rasulullah saw supaya mereka bertiga memisahkan diri dari isteri-isteri mereka-Tidak dibenarkan menggauli isteri-isteri mereka!

Mereka bertiga terus merintih, merayu kpd Allah s.w.t agar mengampunkan dosa mereka kerana tidak ke Tabuk. Sehinggalah apabila masuk hari ke-50, selepas waktu Subuh, datang seorang menyatakan kepada mereka bertiga bahawa Allah telah menerima taubat mereka.

Turunlah ayat 117 Surah at-Taubah sebagai khabar gembira kepada mereka :

  لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ مِنۢ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُۥ بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

"Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka"

Di masjid, orang ramai mengucapkan tahniah kpd Ka'ab, Murrah dan Hilal radhiyallahuanhum. Atas penerimaan taubat itu, Ka'ab r.h. menginfaqkan separuh dpd kebun tamarnya di jalan Allah s.w.t

Demikianlah sebahagian kisah Tabuk. Ada watak sahabat yang beriman, ada watak sahabat yang diuji imannya dan lebih malang ada watak mereka yang munafiq. Jangan sesekali mengabaikan tugas berjihad membela agama Islam kerana tidak mungkin kita akan mampu menanggung kemurkaan Allah s.w.t. Berjihadlah dengan apa sahaja yang kita mampu supaya Islam berada di persadanya.


(Rujukan Feqh Al-Sirah, Said Ramadahan Al-Bouti, Cetakan Darul Fikr)

Cinta





Sesiapa yang memusuhi dan memungkiri cinta dia merupakan pemilik jiwa kontang yang kering dari nilai insani yang sejati. Cinta itu fitrah. Ia satu keperluan. Bahkan mungkin suatu kewajipan ataupun rukun dalam menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Cinta mampu merubah segala yang ada dalam jiwa seorang insan. Telinga, mata dan segala anggota kadang-kala terpaksa tunduk kepada falsafah cinta. Tunduk kepada nilaian cinta. Pahit boleh menjadi manis. Manis boleh menjadi pahit. Indah boleh menjadi buruk. Usang boleh menjadi baru. Hodoh boleh menjadi cantik. Berat boleh menjadi ringan. Susah boleh menjadi senang. Segalanya terbalik dan berubah penilaian dan rasa hanya kerana cinta.

Ini mengingatkan kita kepada rangkap puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e (meninggal 204H) :

Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinya
daku juga turut gering kerana risaukannya
datangnya sang kekasih menziarahiku
maka daku pun sembuh kerana melihatnya
(Ibn Muflih, al-Adab al-Shar’iyyah, 2/296).

Cinta adalah rezeki. Seperti kata Nabi SAW tentang isteriya Khadijah:
"Aku telah direzekikan cintanya" (Riwayat Muslim)

Apabila ada insan mencintai kita, itu merupakan rezeki kerana bukan semua orang dicintai. Seseorang yang beristeri atau bersuami, belum tentu  mendapat nikmat 'dicintai' atau 'mencintai'. Apabila kita mempunyai isteri atau suami atau anak yang cinta dan kasih kepada kita, maka bersyukurlah atas rezeki cinta itu.

Apabila ada orang tampil menyatakan cinta dan kasih kepada kita, maka kita bersyukur. Mungkin kita dapat membalas kembali cintanya dalam bentuk ikatan tertentu, mungkin juga tidak. Namun rasa cintanya kepada kita amat kita syukuri kerana ramai orang tercari-cari cinta dan kasih sayang di sana sini, tidak berjumpa, sedangkan kita memperolehinya. Apa yang penting urusan cinta dan kasih itu dikendalikan dengan cara yang betul.

Apabila seorang sahabat memberitahu Nabi Muhammad Saw bahawa dia menyayangi seseorang kerana Allah, lalu Nabi Muhammad Saw menyatakan, "beritahulah dia". Lalu orang itu memberitahunya, Aku mencintaimu kerana Allah"
Lelaki itu menjawab, "Moga Allah mencintai engkau yang mencintaiku kerana Nya" (Riwayat Abu Daud) 

-Al-Fadhil Dr Muhammad Asri Zainul Abidin-

Rezekikan kami cinta yang diredhai mu, wahai Tuhan.

15 January 2014

Subuh




“ Dan (dirikanlah pula) solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh malaikat.” (Surah al-Isra 17 : 78)

Assalamualaikum w.b.t.

Waktu Subuh adalah waktu yang tenang dan nyaman. Allah s.w.t memilih kaum Nabi Luth yang ingkar untuk di musnahkan pada waktu Subuh. Allah berfirman ;

Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka karena sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?" (Surah Hud)

Syeikh Sya'rawi menyebut di dalam Tafsirnya, mereka (Kaum Luth yang ingkar) dibinasakan oleh Allah pada waktu Subuh yang dikenali sebagai waktu paling nyaman dan menenangkan ialah sebagai suatu tanda kehebatan azab keatas mereka supaya mereka betul-betul kesal dengan tindakan mereka.


Subuh Kita

Realiti kita hari ini (termasuk saya) sangat-sangat sukar untuk bangun awal sebelum Subuh. Selimut yang ringan itu terasa bebanannya seperti batu konkrit. Dan, kadang-kadang ramai di kalangan kita terlepas kewajipan asasi di awal pagi iaitu solat Subuh kerana susah untuk bangun daripada tidur yang nyenyak.

Solat Subuh adalah wajib. Namun, bangun seawal jam 4 pagi sangat sukar jika waktu tidurnya 1 pagi. Shariatik & Saintifik. Banyak faktor dan puncanya. Letih, tidak cukup rehat, tidur lewat, sudah jadi kebiasaan dan macam-macam lagi. Ia adalah perkara biasa bagi setiap manusia biasa.

Kita manusia biasa. Ada kelemahan diri, ada nafsu yang mencengkam dan ada syaitan yang selalu menghasut. Tetapi semua itu Allah s.w.t jawab dalam firmannya ( 2 : 286 )


9 Cadangan Saya

Setelah berbincang dengan beberapa orang sahabat, saya cadangkan beberapa perkara untuk kita sama-sama lazimi.

1. Gunakan alat  bantuan untuk membangkitkan kita daripada tidur. Setkan jam loceng & telefon bimbit dan letak berhampiran dengan kita.

2. Mohon bantuan kawan-kawan ahli rumah yang ada untuk kejutkan.

3. Untuk bangun awal, kita perlu tidur awal. Tidur yang secukupnya memudahkan kita untuk bangun.

4. Ambil tahu fadhilat menunaikan solat Subuh & azab meninggalkannya.

5. Tanam azam di dalam diri untuk bangun awal.

6. Di Mutah, waktu Subuh hari ini jam 5.09 pagi. Manakala waktu Iqomah ialah pada jam 5.35 pagi iaitu 25 minit selepas waktu Azan dikumandangkan.

7. Rakan- rakan yang rumahnya agak jauh daripada masjid, boleh mula keluar dari rumah sekitar jam 5.15 minit pagi iaitu 20 minit sebelum iqomah dilaungkan. Tujuannya supaya sempat solat sunat tahiyatul masjid dan berada di soff paling awal.

8. Bagi yang terlewat, kita masih miliki masa untuk dapat pahala berjemaah meskipun menjadi makmum 'masbuq'. Kebiasaannya solat di masjid, mengambil masa selama 10-15 minit. Sekiranya kita melangkaui waktu tersebut, masih boleh solat bersama jemaah kedua, ketiga ataupun seterusnya.

9. Bagi yang tidak berkesempatan, masih boleh menunaikan dirumah kerana waktu Subuh tamat pada jam 6.30 pagi.

*Kira-kira ini valid beberapa mingu dari sekarang kerana waktu solat Subuh yang tidak banyak berbeza.


Sentiasa Berusaha

Jika yang telah berjaya pasti ada cabarannya yang lain pula. Cabarannya ialah untuk mengekalkan dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. 

Jadi bagaimana?

Perbanyakanlah berdoa, memohon kepadaNya supaya kita istiqamah dan konsisten dengan amalan bangun awal ini.

Bagi kita, ianya bukan persoalan MAMPU, tetapi ia perlu ada MAHU. Mulakan dengan MAHU, insha-Allah kita MAMPU. Dalam masa yang sama pohonlah kepada  ALLAH supaya disertakan bersama ikhlas dan istiqomah, supaya ianya tidak rapuh.

Akhir kalam, apa yang di sampaikan peringatan untuk diri sendiri. Semoga perkataan yang tidak tersusun ini mampu mengetuk hati hati yang kerap kali terlalai. Mudah-mudahan saya orang pertama mengamalkan apa yang ditulis kerana saya bukanlah polis agama yang ditugaskan, apatah lagi manusia ma'sum seperti baginda s.a.w.

Wallahua'lam.



Muhammad Azim,
Mu'tah, Jordan,
15 Januari 2014 / 13 Rabi' Al-Awwal 1435.

14 January 2014

Mewarnai Lukisan Kehidupan




Assalamu'alaikum w.b.t

Selesai 4 kertas peperiksaan, berbaki hanya 1 lagi iaitu subjek Adyan Muqoronah. Belajar tentang perbandingan agama-agama dengan Dr Qois Mu'aitoh. Al-fadhil Dr seorang yang ceria. Beliau guru pertama mengucapkan ucapan tahniah kepada penulis di dalam kelas dan hadapan orang ramai selepas dilantik sebagai Presiden PERMATA pasca PRK PERMATA 2013. Banyak kali berhubung dengan beliau melalui telefon kerana sangat mesra dan mudah didekati.


Warna-Warna Yang Indah

ALLAH SWT mencipta kehidupan kita dengan seribu macam warna-warna yang indah.

Rasulullah S.A.W pernah merah mukanya apabila hak ALLAH cuba dicabuli. Dalam sebuah Hadis yang agak panjang, Rasulullah menegaskan: ' ..Demi ALLAH! Jika sekiranya anakku Fatimah didapati bersalah kerana mencuri, akan ku potong tangannya.' (Bukhari).

Rasulullah saw mendukung Hasan dan Husain r.h.m, cucu kesayangan Baginda s.a.w, dan dibawanya berlari. Beliau bermesra dengan cucu-cucunya dan anak kecil yang lain.

Rasulullah saw berlumba lari dgn A'isyah r.h. Ada ketika Rasulullah dihadapan, ada ketika A'isyah r.a. di hadapan. Dilayannya A'isyah seolah-olah Rasulullah s.a.w sebaya umur dengannya.

Rasulullah saw berhadapan musuh tanpa undur di dalam perang. Diperanginya siapa sahaja yang memerangi ALLAH dan agama Islam. Tiada kompromi antara hak dan batil.

Di bidang pengurusan dan kepimpinan baginda memberi contoh yang terbaik. Ketika Baginda bertugas sebagai panglima perang, Baginda berada di posisi selayaknya sebagai panglima : Memberi arahan. Namun, apabila baginda sebagai anggota masyarakat & warganegara Madinah, baginda bertugas menggali khandak bersama sahabat yang lain.

Rasulullah saw sabar ketika penduduk Taif menyambut kedatangannya dihujani dengan batu batu keras. Baginda sedih ketika dua insan dikasihi wafat, lalu Allah 'hiburkan' dengan Isra' & Mikraj.


Warna-Warna Yang Pudar

Sebilangan kita menjadi tak berhati perut sentiasa. Marahnya tidak bertempat.

Semasa pulang bercuti tempoh hari, ada seoarang isteri mengadu dan berkongsi masalah kepada penulis. Dia dilayan seperti 'hamba abdi'. Penulis memerhati, mata kirinya lebam. Katanya itu kesan dipukul suami. Di rumah, dia dilayan ibu mertua seperti orang gaji. Belanja makan dan keperluan diri ditanggung sendiri dengan hanya bekerja di sebuah restoran milik Tuannya yang berbangsa China. Suami mula dekat dan buat baik, hanya apabila ada keperluan nafsu. Ini cerita benar.

Ada keluarga lain, anak anak lari dari rumah ikut kekasih. Ke hulu kehilir bersama pasangan dan bergaul melepasi garis batasan syarak. Dirumah, tiada ruang bermanja. Tiada gurauan kemesraan. Rumah bagai sebuah penjara. Tak bertegur, bahkan tiada beza seperti hotel-hotel hanya dijadikan sebagai tempat singgah. Hubungan ibu-bapa dan anak-anak makin jauh, bukan mendekat.

Kami (mahsiswa) dikampus, kadang kadang rutin harian hanya keluar rumah ke kelas pada waktu pagi, kemudian balik semula ke rumah pada petang hari. Menghadap facebook, main game dan menonton movie. Lama kelamaan makin kurang masa bersama masyarakat sekeliling dan menuntut ilmu. Kurang mesra masyarakat. Kurang membaca dan mengkaji. Masjid dan surau bukan lagi keutamaan.


Kita Memilih

Ayuh, warnailah kehidupan kita.

Marah bila perlu marah, namun tetap didalam kawalan syariat.

Bergurau senda dengan insan sekeliling, juga dalam batas yang diizinkan syarak.

Bergaul dan bermesra dalam keadaan dipandu ilmu. Jangan ketepikan soal tahsiniyat, kerana ia memenuhintuntutan kemanusiaan.

Semuanya beroleh pahala apabila kena tujuan dan gayanya. Hargailah kehidupan ini, kerana ia hanya datang sekali sahaja.

Rasulullah ikutan sepanjang zaman. Rindu kepada baginda tak pernah padam. Semoga di ubati, dengan banyak menyebut namanya.

Salam Maulid Ar-Rasul 1434.


Muhammad Azim,
Mutah, Jordan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons