13 July 2014

Cinta





Sesiapa yang memusuhi dan memungkiri cinta dia merupakan pemilik jiwa kontang yang kering dari nilai insani yang sejati. Cinta itu fitrah. Ia satu keperluan. Bahkan mungkin suatu kewajipan ataupun rukun dalam menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Cinta mampu merubah segala yang ada dalam jiwa seorang insan. Telinga, mata dan segala anggota kadang-kala terpaksa tunduk kepada falsafah cinta. Tunduk kepada nilaian cinta. Pahit boleh menjadi manis. Manis boleh menjadi pahit. Indah boleh menjadi buruk. Usang boleh menjadi baru. Hodoh boleh menjadi cantik. Berat boleh menjadi ringan. Susah boleh menjadi senang. Segalanya terbalik dan berubah penilaian dan rasa hanya kerana cinta.

Ini mengingatkan kita kepada rangkap puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e (meninggal 204H) :

Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinya
daku juga turut gering kerana risaukannya
datangnya sang kekasih menziarahiku
maka daku pun sembuh kerana melihatnya
(Ibn Muflih, al-Adab al-Shar’iyyah, 2/296).

Cinta adalah rezeki. Seperti kata Nabi SAW tentang isteriya Khadijah:
"Aku telah direzekikan cintanya" (Riwayat Muslim)

Apabila ada insan mencintai kita, itu merupakan rezeki kerana bukan semua orang dicintai. Seseorang yang beristeri atau bersuami, belum tentu  mendapat nikmat 'dicintai' atau 'mencintai'. Apabila kita mempunyai isteri atau suami atau anak yang cinta dan kasih kepada kita, maka bersyukurlah atas rezeki cinta itu.

Apabila ada orang tampil menyatakan cinta dan kasih kepada kita, maka kita bersyukur. Mungkin kita dapat membalas kembali cintanya dalam bentuk ikatan tertentu, mungkin juga tidak. Namun rasa cintanya kepada kita amat kita syukuri kerana ramai orang tercari-cari cinta dan kasih sayang di sana sini, tidak berjumpa, sedangkan kita memperolehinya. Apa yang penting urusan cinta dan kasih itu dikendalikan dengan cara yang betul.

Apabila seorang sahabat memberitahu Nabi Muhammad Saw bahawa dia menyayangi seseorang kerana Allah, lalu Nabi Muhammad Saw menyatakan, "beritahulah dia". Lalu orang itu memberitahunya, Aku mencintaimu kerana Allah"
Lelaki itu menjawab, "Moga Allah mencintai engkau yang mencintaiku kerana Nya" (Riwayat Abu Daud) 

-Al-Fadhil Dr Muhammad Asri Zainul Abidin-

Rezekikan kami cinta yang diredhai mu, wahai Tuhan.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons