01 August 2015

IDENTITI MUSLIM IDEAL






MINDA MUSLIM

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صٰلِحًا غَيْرَ ٱلَّذِى كُنَّا نَعْمَلُ ۚ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَآءَكُمُ ٱلنَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا۟ فَمَا لِلظّٰلِمِينَ مِن نَّصِير

Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami niscaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan". Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun. (Faathir : 37)

Ada 2 perkara besar yang Allah telah sebutkan didalam ayat ini.

1. Masa di dunia
2. Aqal yang tidak dimanfaatkan

Masa yang Allah s.w.t kurniakan kepada insan, nilainya adalah sebuah kehidupan. Pembaziran masa yang dilakukan adalah perbuatan mensia-siakan kehidupan. Masa yang berlalu tidak akan dapat dikembalikan. Oleh itu setiap detik yang terhidang patut diisi dengan perkara yang bermanfaat. Sikap mementingkan masa adalah salah satu daripada ajaran agama. Kerana itu baginda s.a.w pernah bersabda ;

إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح، وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء

Ertinya : Apabila engkau berada diwaktu petang, janganlah tunggu datangnya waktu pagi, dan apabila engkau berada di waktu pagi, janganlah tunggu datangnya waktu petang (Riwayat Bukhari)

Syariat yang dikirimkan oleh Allah s.w.t, tidak kesemuanya bersifat qot'iey (pasti hukumnya). Sebahagian besar daripada syariat ini, berasal dari nas-nas dan dalil-dalil yang bersifat zonniy (tidak pasti). Wujudnya sebahagian besar dalil zonniy ini merupakan kemuliaan untuk hamba menafaatkan akal supaya berfikir dan berijtihad menentukan hukum-hakam dan bentuk syariat ini. Sebab itu tidak menjadi suatu yang menghairankan apabila berjumpa sebahagian cabang di dalam ilmu aqidah, feqah, tafsir atau hadis yang memiliki lebih daripada satu pendapat pada sesuatu permasalahan atau perbincangan. Hal ini kerana agama ini selain tertegak diatas nas, akal juga memilki peranan besar yang tidak boleh diabaikan.

Selain daripada itu, aqal juga beroperasi untuk untuk melaksanakan proses tajdid. Di kampus, kita sering terdedah dengan kaedah menghimpunkan dan mengkaji pelbagai pendapat berdasarkan kaedah muqaran (perbandingan) dan kemudian memilih yang tepat untuk diamalkan. Tajdid beerti memperbahrui. Roh dan semangat ini selari dengan saranan baginda didalam hadis, sabda Rasulullah s.a.w :

إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس مائة سنة من يجدد لها دينها

Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi ummah pada setiap seratus tahun seorang yang akan memperbahrui agamanya (Riwayat Abu Dawud)

جددوا إيمانكم، قيل يا رسول الله، وكيف نجدد إيماننا ؟ أكثروا من قول لا إله إلا الله

Perbahruilah iman kamu! Sahabat bertanya, bagaimanakah caranya wahai Rasulullah s.a.w? Jawab Rasulullah, perbanyakkan menyebut lailahaillah

ILMU DAN AMAL

Syariat agama yang mulia ini biasanya dirosakkan apabila diheret ke dua lembah iaitu ifrat (terlalu ekstrim) dan tafrit (bermudah-mudah). Kita dituntut untuk berpendirian diantara ifrat dan tafrit, yang dinamakan sebagai wasatiyyah. Menjadi seorang yang luas pengetahuan ilmu adalah jalan keluar merawati penyakit ini kerana agama Islam ini agama wasatiyyah. Tuntutan memperdalami ilmu adalah tuntutan yang jelas didalam banyak ayat al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w yang menceritakan kelebihan menjadi orang yang berilmu.

أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ سَاجِدًا وَقَآئِمًا يَحْذَرُ ٱلْءَاخِرَةَ وَيَرْجُوا۟ رَحْمَةَ رَبِّهِۦ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبٰبِ

(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (Az Zumar : 9)

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Mujaadalah :11)

إن فضل العالم على العابد كفضل القمر في ليلة البدر على سائر الكواكب

Sesungguhnya kelebihan orang yang berilmu keatas orang yang hanya beribadah seperti kelebihan bulan pada malam purnama keatas semua bintang (riwayat Abu Dawud)

Kelebihan menjadi orang yang berilmu adalah sebuah kemuliaan yang merupakan amanah dan tanggungjawab. Darjat mereka yang tinggi disisi Allah diperoleh kerana besarnya amanah yang dipikul. Ini yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t

وَمَا كَانَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا۟ كَآفَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا۟ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُوا۟ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوٓا۟ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. (At Taubah : 122)

Mahasiswa yang mantap budaya ilmu dan intelektualismenya akan berperanan sebagai pengembang ilmu. Untuk itu pembaharuan ilmu dalam diri haruslah dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan ketekunan. Sentiasa membuat percubaan, mencuba melihat daripada sudut pandangan yang lain dan mempunyai sikap yang positif dan kreatif, menyebarkan untuk orang ramai dan membuktikan pada amalan.

GENERASI BARU

Perkataan Fata (pemuda) yang terkandung didalam al-Quran, selain yang sering diulang daripada Surah al-Kahfi, juga digunakan ketika mencertakan perihal Khalilullah Nabi Ibrahim a.s. Allah s.w.t berfirman ;

قَالُوا۟ سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبْرٰهِيمُ

Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim". (Al Anbiyaa : 60)

Tindakan Ibrahim memecahkan berhala mengundang kemarahan musyrikin pada waktu itu. Mereka menduga, Ibrahim adalah anak muda biasa yang mudah tunduk pada hukuman. Hakikatnya bapa kita Ibrahim a.s tidak sedangkal itu. Berhala yang ada, tidak kesemuanya dipecahkan. Yang ditinggalkan sebahagian itu bukan kerana bimbang didakwa sebaliknya ada perancangan yang telah difikirkan Ibrahim a.s.

Setelah merasa tergugat mereka memanggil Ibrahim dan bertanya tentang perbuatan tersebut. Musyrikin terdiam mendengar jawapan tegas dan penuh hikmah dari Ibrahim a.s

قَالُوٓا۟ ءَأَنتَ فَعَلْتَ هٰذَا بِـَٔالِهَتِنَا يَٰٓإِبْرٰهِيمُ قَالَ بَلْ فَعَلَهُۥ كَبِيرُهُمْ هٰذَا فَسْـَٔلُوهُمْ إِن كَانُوا۟ يَنطِقُونَ

Mereka bertanya: "Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" Ibrahim menjawab: "Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara". (Al Anbiyaa : 62 & 63)

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمٰوٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَءَايٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبٰبِ ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمٰوٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هٰذَا بٰطِلًا سُبْحٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (191) (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (Ali Imran : 190 & 191)

Ketika membahaskan ayat ulul albab ini, Syed Qutb berkali-kali menyebut 2 elemen penting membentuk karakter ulul Albab. Memiliki akal buah fikiran yang baik dan hati yang selalu mengingati Allah adalah antara ciri 'Ulul Albab' yang disebutkan didalam ayat ini. Kesempurnaan generasi baru akan menjadi tidak seimbang apabila diketepikan salah satu daripada keduanya. Projek pembangunan minda melalui seminar, wacana, diskusi, forum dan sebagainya serta proses pembangunan rohani seperti memberi penekanan dan menitik-beratkan hal-hal kerohanian seperti solat berjemaah, tadabbur ayat-ayat al-Quran dan pelbagai lagi adalah wasilah yang perlu dijalankan berterusan baik secara individu mahupun dalam kalangan berpersatuan.

Terasnya adalah keberanian seperti yang ditunjukkan Saidina Ibrahim, memanfaatkan aqal untuk berfikir dan tidak lalai memperbaiki hati daripada mengingati Allah. Sinergi daripada gabungan 3 perkara ini akan membentuk generasi baru yang lebih dinamik dan mampu mewarnai corak masyarakat yang lebih baik.

POLITIK & NEGARA

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Sesungguhnya bagi kaum Saba' ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): "Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun". (Saba' : 15)

Negara Malaysia hari ini mengalami krisis pentadbiran dan politik yang hebat. Dalam suasana serba kalut ini, keutamaan yang mesti diberikan mahasiswa dan anak muda haruslah berpaksi kepada menyelesaikan persoalan bagaimana mahu memperbaikinya (politik dan negara). Bukan leka berhibur, menyibukkan diri dengan hal-hal yang diadakan dalam agama serta politik kampus yang sempit.

Negara sejahtera yang ingin dibangunkan, mestilah bergerak diatas teras dakwah bukan hanya sekadar pentadbiran yang diruskan sebuah kerajaan tanpa mengambil semangat dan ruh ayat ke-15 daripada Surah Saba' tersebut. Al-Quran menyeru untuk menuju kearah negara yang baik. Hakikatnya negara yang baik terhasil daripada pemerintah yang baik, rakyat yang baik dan corak pentadbiran yang baik.

Usaha memperbaiki negara dan politik sudah pastinya akan berhadapan pelbagai kesukaran dan halangan. Namun jika ianya diabaikan, pelbagai masalah dan mudharat yang lebih besar akan menimpa. Teguran Syed Hussein Alatas baik untuk direnungi untuk memberi kesedaran dalam tindakan kita.

" Dengan orang-orang bebal ini datanglah nepotisme, pandangan kolot, politik parti kedaerahan, yang menentukan pemilihan dan kenaikan dalam tatatingkat kekuasaan pentadbiran. Orang-orang bebal tidak dapat menguasai keadaan dalsm jasa dan kerja keras merupakan kriteri kejayaan, dan dengan demikian rasuah menjadi ciri-ciri naiknya kekuasaan orang-orang bebal... Diman orang-prang bebal berkuasa, maka nilai-nilai merekalah menjadi nilai-nilai masyarakat, kesedaran mereka menjadi kesedaran masyarakat." (Syed Hussein Alatas, Peranan Golongan Intelektual dalam Masyarakat Membangun).

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Web Hosting Coupons